Ammin Zul: Rabu, Februari 22, 2012

Myanmar timbang benar pemantau Asia Tenggara

SUU KYI menerima jambangan bunga daripada penyokongnya ketika berkempen di perkampungan Ahpyauk, di Myanmar, semalam.

Bukti pembangkang kembali dalam politik perdana pada pilihan raya 1 April ini 

YANGON: Myanmar berjanji untuk ‘mempertimbangkan secara serius’ bagi membenarkan pemantau Asia Tenggara ketika pilihan raya kecil, menandakan kembalinya pembangkang dalam arus politik perdana, kata blok serantau Asean semalam.
Undian pada 1 April yang bakal menyaksikan pemenang Hadiah Nobel, Aung San Suu Kyi bertanding untuk satu kerusi Parlimen buat pertama kali, yang dilihat sebagai ujian penting kepada komitmen kerajaan yang disokong tentera itu untuk melakukan perubahan.
Pertubuhan Negara Asia Tenggara (Asean) dalam satu kenyataan berkata Presiden Myanmar, Thein Sein membuat ikrar itu kepada Setiausaha Agung Surin Pitsuwan ketika pertemuan di ibu negara Naypyidaw. 

“Kami akan pertimbangkan dengan serius untuk membenarkan pemantau dari Asean ketika pilihan raya April,” kata Thein Sein yang dipetik sebagai berkata. 

Satu pilihan raya 2010 yang menyaksikan sekutu politik tentera berkuasa dicemari dengan pelbagai aduan penipuan dan pemalsuan. 

Pemantau pilihan raya asing dan media antarabangsa tidak dibenarkan memasuki negara itu ketika pilihan raya yang dikritik parti pembangkang Suu Kyi dan kuasa barat sebagai tidak sah. 
Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) Suu Kyi mengadakan satu sidang media Isnin lalu memberi amaran bahawa pilihan raya secara adil sekali lagi menjadi ancaman kerana mereka dinafikan menggunakan tempat sesuai untuk berkempen. 
Beberapa jam selepas itu, NLD berkata pihak berkuasa menarik balik sekatan berkenaan. 

Pembangkang tidak akan menjadi ancaman kepada parti pemerintah biarpun jika mereka memenangi semua 48 kerusi dalam pilihan raya kecil tetapi kemenangan Suu Kyi akan membawa kepada kesahihan dalam Parlimen. – AFP