Ammin Zul: Wanita tertua tawan Everest

Wanita tertua tawan Everest

 

Tamae Watanabe berusia 73 tahun kali kedua tiba di kemuncak

KATMANDU: Seorang wanita Jepun berusia 73 tahun berjaya menawan kemuncak Gunung Everest buat kali kedua semalam, memecah rekodnya sendiri untuk muncul sebagai wanita paling tua mendakigunung tertinggi dunia itu.

 Tamae Watanabe tiba di kemuncak Everest yang mempunyai ketinggian 8,850 meter dari sebelah utara pergunungan di Tibet pagi semalam bersama empat anggota pasukan yang lain, kata Ang Tshering dari Persatuan Mendaki Gunung Tibet China di Nepal.
Watanabe pernah memanjat Everest pada 2002 ketika berusia 63 tahun untuk menjadi wanita tertua memanjat gunung itu.

Berikutan kejayaan terbaru, dia mempertahankan takhtanya selain mengatasi sendiri rekod yang pernah dicatatkan kira-kira 10 tahun lebih awal.

Tshering berkata, Watanabe dan anggota pasukan yang lain dalam keadaan baik dan mereka dalam perjalanan pulang dari gunung itu.

Watanabe dan anggota pasukannya meninggalkan kem di paras tinggi terakhir pada ketinggian 8,300 meter pada malam Jumaat lalu dan mendaki sepanjang malam sebelum tiba di kemuncak pada awal pagi semalam.
Keadaan cuaca di kawasan pergunungan itu baik minggu ini. Pasukan itu mula tiba di kemuncak dari sebelah Nepal di selatan pergunungan, kata jabatan mendaki gunung Nepal.

Pasukan pertama dari Nepal tiba di kemuncak pada Jumaat dan lebih ramai tiba di kemuncak Everest pada waktu pagi semalam.

Keadaan cuaca di pergunungan dikatakan amat mencabar sepanjang tahun ini hingga memaksa beberapa ekspedisi membatalkan rancangan untuk ke kemuncak.

Bulan Mei disifatkan sebagai bulan terbaik untuk mendaki Everest apabila pendaki berhadapan dengan cuaca baik dalam usaha mereka untuk ke kemuncak.

Lelaki tertua mendaki Everest adalah seorang warga Nepal, Min Bahadur Sherchan, yang mendaki gunung itu pada 2008 ketika berusia 76 tahun. – AP