Ammin Zul: Technip dapat projek RAPID PETRONAS

Technip dapat projek RAPID PETRONAS

TECHNIP memperoleh kontrak kejuruteraan bagi cadangan projek Pembangunan Bersepadu Petrokimia dan Penapisan (RAPID) di Johor daripada PETRONAS. 

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Paris semalam, gergasi kejuruteraan minyak dan gas dari Perancis itu berkata, kontrak itu akan membabitkan aspek kerja merekabentuk kejuruteraan bahagian depan projek RAPID.

Pengerusi dan Ketua Eksekutif Technip, Thierry Pilenko, berkata pemerolehan kontrak itu mengukuhkan lagi kehadiran kumpulan dalam sektor penapisan dan sektor petrokimia di Asia Pasifik.
“Dengan menggabungkan kepakaran dan pasukan pusat operasi kami di Kuala Lumpur (Malaysia), Paris dan Lyon (Perancis), kumpulan mampu menyediakan penyelesaian teknologi skim pelaksanaan yang paling baik kepada PETRONAS,” katanya. 

Syarikat asing itu bagaimanapun tidak menyatakan nilai projek yang diperolehnya itu. 

Projek RAPID PETRONAS membabitkan pembinaan kilang penapis minyak mentah, pemisah nafta yang akan menghasilkan kira-kira tiga juta tan etilena, propilena, C4 dan C5 olefin setahun dan sebuah kompleks polimer dan petrokimia yang boleh mengeluarkan pelbagai bahan kimia berkaitan. 

Menerusi projek berkenaan, ia disasarkan bagi menghasilkan kapasiti pengeluaran sehingga 300,000 tong sehari penapisan minyak mentah untuk penghasilan produk petroleum. 
Projek itu juga dibangunkan khusus bagi memenuhi peningkatan keperluan bahan kimia global, selain pada masa sama turut berkeupayaan memenuhi permintaan peningkatan produk petrokimia petroleum dan komoditi di rantau Asia Pasifik menjelang 2016. 

Pilenko berkata, kumpulan menjangkakan kontrak itu dijadualkan siap sepenuhnya pada separuh kedua tahun depan.