Ammin Zul: Pendapatan eksport minyak sawit RM59.77b pada 2010

Pendapatan eksport minyak sawit RM59.77b pada 2010

Meningkat 20.4 peratus berbanding RM49.6 bilion tahun 2009 

PRESTASI industri minyak sawit Malaysia adalah bercampur-campur pada tahun 2010. Pendapatan eksport produk sawit amat memberangsangkan dengan peningkatan RM10.11 bilion atau 20.4 peratus kepada RM59.77 bilion berbanding RM49.6 bilion pada tahun 2009.
Harga minyak sawit mentah (MSM) meningkat sebanyak 20.5 peratus kepada RM2,704.50 satu tan. Pengeluaran minyak sawit mentah menurun sebanyak 3.3 peratus kepada 16.99 juta tan dan stok minyak sawit juga menyusut sebanyak 27.9 peratus kepada 1.61 juta tan berbanding tahun 2009. Import minyak sawit mencatat kenaikan sebanyak 19.6 peratus kepada 1.11 juta tan.
Tahun 2010, keluasan tanaman sawit di Malaysia mencapai 4.85 juta hektar, meningkat 3.5 peratus berbanding 4.69 juta hektar pada tahun sebelumnya. 

Daripada jumlah itu, kawasan matang adalah 4.2 juta hektar atau 87 peratus dan kawasan muda sebanyak 0.65 juta hektar atau 13 peratus. Semenanjung Malaysia mempunyai keluasan 2.52 juta hektar atau 52 peratus, Sabah sebanyak 1.41 juta hektar (29 peratus) dan Sarawak sebanyak 0.92 juta hektar (19 peratus). 

Purata hasil buah tandan segar (BTS) merosot 6.1 peratus kepada 18.03 tan sehektar berbanding 19.20 tan sehektar berbanding tahun sebelumnya. Purata hasil BTS di Semenanjung Malaysia jatuh 7.5 peratus kepada 17.91 tan sehektar berbanding 19.36 tan sehektar tahun 2009. Sabah juga jatuh sebanyak 4.7 peratus kepada 20.16 tan sehektar berbanding 21.15 tan sehektar. Hasil BTS Sarawak juga menurun sebanyak 2.6 peratus kepada 14.89 tan sehektar berbanding 15.29 tan sehektar pada tahun 2009. 

Pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) merosot sebanyak 3.3 peratus kepada 16.99 juta tan daripada 17.56 juta tan pada tahun sebelumnya. Keadaan panas dan kering berpunca dari fenomena El Nino pada setengah tahun pertama menyebabkan kemerosotan hasil tandan buah segar (FFB) sebanyak 6.1 peratus dan kejatuhan kadar perahan minyak sawit mentah (OER) sebanyak 0.2 peratus. 
Selain itu, hujan yang berlebihan berpunca dari fenomena La Nina pada setengah tahun kedua juga memberi kesan negatif ke atas pengeluaran. 

Program penanaman semula (SITS) yang bermula pada tahun 2008 dan 2009 juga mempengaruhi pengeluaran CPO pada tahun 2010. Seju mlah 207,754 hektar pokok kelapa sawit yang mencapai tempoh matang ditebang untuk tanaman semula bagi kedua-dua tahun berkenaan yang menyebabkan pengurangan pengeluaran MSM dianggarkan sebanyak 350,000 hingga 400,000 tan pada tahun 2010. 

Pengeluaran isirung sawit dan pengeluaran minyak isirung sawit mentah juga mengalami kemerosotan iaitu masing-masing sebanyak 4.6 peratus kepada 4.29 juta tan dan 3.9 peratus kepada 2.01 juta tan. 

Semenanjung Malaysia mengalami kejatuhan pengeluaran MSM sebanyak 6.1 peratus kepada 9.50 juta tan dan Sabah menurun sebanyak 2.5 peratus kepada 5.32 juta tan tetapi Sarawak meningkat sebanyak 9.3 peratus kepada 2.18 juta tan. 

Jumlah eksport produk sawit pada 2010 yang merangkumi minyak sawit, minyak isirung sawit, dedak isirung, oleokimia, biodiesel dan produk akhir meningkat sebanyak 0.63 juta tan atau 2.8 peratus kepada 23.05 juta tan daripada 22.43 juta tan yang dicatat pada tahun sebelumnya. Jumlah pendapatan eksport turut melonjak RM10.11 bilion atau 20.4 peratus kepada RM59.77 bilion berbanding RM49.66 bilion pada tahun 2009 berikutan harga eksport produk sawit yang tinggi. 

Eksport minyak sawit meningkat 4.9 peratus kepada 16.66 juta tan dalam tahun 2010 berbanding 15.88 juta tan tahun 2009. Peningkatan disebabkan pertambahan eksport minyak sawit negara ke Pakistan, Mesir, Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat, UAE dan Vietnam. 

Eksport minyak sawit ke Pakistan meningkat dengan ketara sebanyak 20.6 peratus kepada 2.13 juta tan ekoran penurunan berterusan import minyak sawit dari Malaysia kepada 15 peratus Margin of Preference (MoP) hasil dari Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Pakistan. 

Eksport ke Mesir juga mencatat peningkatan 54.1 peratus kepada 0.94 juta susulan dari aktiviti pengeksportan semula minyak sawit ke negara jiran, terutama Sudan. 

Eksport minyak isirung sawit meningkat sebanyak 4.1 peratus kepada 1.16 juta tan pada tahun 2010. Amerika Syarikat adalah pasaran utama dengan jumlah sebanyak 0.26 juta tan (22.8 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport minyak isirung, diikuti Republik Rakyat China sebanyak 0.21 juta tan (17.7 peratus), Kesatuan Eropah 0.12 juta tan (10.1 peratus) dan Jepun 0.09 juta tan (8 peratus). 

Eksport isirung sawit juga meningkat 2.6 peratus kepada 2.44 juta tan. Pasaran utama produk ini ialah Kesatuan Eropah dengan eksport sebanyak 1.00 juta tan (41.1 daripada jumlah keseluruhan eksport isirung sawit), New Zealand 0.64 juta tan (26.2 peratus) dan Korea Selatan 0.46 juta tan (18.9 peratus). 

Eksport produk oleokimia meningkat 2.1% kepada 2.22 juta tan. Produk utama olekimia yang dieksport ialah asid lemak 0.82 juta tan (36.9 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport oleokimia), diikuti dengan fatty alcohol 0.47 juta tan (21.2 peratus), soap noodle 0.41 juta tan (18.5 peratus), methyl ester 0.28 juta tan (12.6 peratus) dan glyserin 0.23 juta tan (10.4 peratus). 

Eksport produk akhir merosot 29.4 peratus kepada 0.41 juta tan berbanding 0.58 juta tan yang dicatat pada tahun 2009. Produk utama yang dieksport ialah shortening, vegetable/dough fats, cocoa-butter substitute/equivalent/replacer dan lemak sayuran/vanaspati masing-masing sebanyak 215,004 tan, 43,973 tan, 41,819 tan dan 39,141 tan. 

Eksport biodiesel turut merosot dengan ketara sebanyak 60.6 peratus kepada 0.09 juta tan berbanding 0.23 juta tan yang dicatat pada tahun 2009. Eksport pada tahun 2010 tertumpu kepada aktiviti pengeksportan semula biodiesel melalui Indonesia dengan penguasaan sebanyak 45,072 tan (50.3 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport). Eksport terus ke negara pembeli lain ialah Kesatuan Eropah 40,660 tan (45.4 peratus), diikuti Amerika Syarikat 3,482 tan (3.9 peratus). 

Stok minyak sawit ditutup sebanyak 1.61 juta tan pada akhir tahun 2010, merosot sebanyak 27.9 peratus berbanding 2.24 juta tan yang dicatat pada akhir tahun sebelumnya. 

Harga minyak sawit mentah (MSM) diurusniagakan tinggi pada paras RM2,548.50 satu tan pada setengah tahun pertama 2010. Kekukuhan harga MSM ini yang dipengaruhi sentimen positif pasaran lanjutan dari keruncingan bekalan minyak sayuran dunia di samping paras stok MSM yang rendah di pasaran tempatan. 
Sehubungan itu, purata harga MSM pada tahun 2010 meningkat sebanyak RM464.50 atau 20.8 peratus kepada RM2,701.00 satu tan berbanding RM2,236.50 satu tan pada tahun 2009. 

Purata harga isirung sawit pada tahun 2010 juga meningkat sebanyak RM665.50 atau 62.2 peratus kepada RM1,735.50 satu tan berbanding RM1,070.00 satu tan pada tahun sebelumnya. 

Kesan daripada keseluruhan peningkatan harga MSM dan isirung sawit pada tahun 2010, purata harga buah tandan segar (BTS) juga meningkat sebanyak 30.3 peratus kepada RM605 satu tan berbanding RM465 satu tan pada tahun 2009. 


terima kasih.